Rabu, 16 Disember 2009
keindahan beramal dan berdakwah
Selawat ke-atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, doa kepada Nabi yang terdahulu,para sahabat Rasulullah,para pejuang syuhadah,para solehin pejuang Agama Allah S.W.T, semoga dengan apa yang ana cuba tulis ini dapat kita sama-sama renungkan dan jika ana silap minta diberikan teguran yang dapat membina ana untuk tidak melakukan kesilapan tersebut lagi. Apa yang ana ingin kongsikan ialah secebis kisah ana semasa ditarbiah..
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, kepada pembaca yang budiman yang sudi membaca blog ana ini.
Sepanjang hidup ana sebelum ini tidak pernah ana sekali merasa apa itu kemanisan iman setelah ditarbiah tetapi setelah ana dikurniakan oleh Allah iaitu seorang sahabat ana mulai insaf bahawa sungguh kerdil ana ini di muka bumi ini kerana dosa yang tidak terkira dalam hidup ana sepanjang ana tidak tahu apa makna Islam dan Fungsi Islam itu sendiri. Pada peringkat awalnya ana dalam zaman jahiliah tak mengerti pahala dan dosa lupa akan Akhirat yang akan tiba nanti. Pergaulan bebas bersama teman sekolah, pakaian yang tidak menutup aurat, tidak bersolat dan banyak lagi perkara mungkar yang ana pernah lakukan. Ana pernah ditanya oleh seorang kawan ana “kau tak malukah, menceritakan kisah hidup kau?” ana menjawab “buat apa aku perlu malu sedangkan aku lagi malu apabila aibku akan dibuka oleh Allah di Akhirat kelak jika aku tidak sedarkan orang lain dengan menceritakan kisahku kepada yang lain bagi pengajaran dan motivasi bagi mereka kembali dijalan Tuhan Yang Satu” jadi ana tidak kisah jika kisah ana dapat dikongsi kepada yang lain asalkan bertujuan kerana Allah.
Ana ditarbiah dengan pelbagai peringkat, bukan mudah untuk kita mengubah diri melainkan mempunyai kekuatan dan motivasi yang kuat. Semasa peringkat permulaan ana ditarbiah agak mudah sekali ana menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku ana dapat meneingkatkan amal seperti solat berjemaah pada waktu subuh di surau, membaca Al-Quran selepas tiap solat fardu, berpuasa sunat dan solat di waktu malam. Dengan semangat yang kuat untuk bangun waktu subuh itu digerakkan oleh salah seorang sahabat ana yang ana sayangi dengan pelbagai alasan yang ana berikan kerana malas untuk solat subuh mengikut kata syaitan laknatullah, akhirnya ana berjaya bangun dengan berwudhukan air suci itu. Berat hati untuk bangun tetapi akhirnya ana tetapkan matlamat bahawa ana dalam proses tarbiah. Amalan yang ana lakukan itu dapat ana Istiqamah dengan satu pegangan sahaja iaitu hanya Allah dihatiku. Hari-hari ana di sekolah amat tenang sekali kerana dapat mengerjakan amal yang dituntut oleh Islam.
Pada pertengahan Ramadhan 1339 Hijrah ana dengan pertama kali memakai tudung labuh yang dibeli oleh ana sendiri. Ana bertekad untuk Istiqamah bertudung labuh kerana ana ingin taat pada suruhanNya. Ramai kawan-kawan ana yang pelik melihat perubahan ana itu dan bertanya mengapa ana memakai tudung labuh? Ana hanya mendiamkan diri tanpa merasa hati pun. Alhamdulillah apa yang ana rasa ialah manisnya iman itu setelah melakukannya kerana niat Allah S.W.T. Ana menangis dan redha dengan apa yang jadi kepada ana selama ana dilahirkan di dunia ini tanpa mengenal siapa Allah, siapa Nabi Muhammad, dan Agama suci ini. Segala apa yang pernah ana lakukan dahulu hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat mengampuni dan
Ana dapat lagi Istiqamah pada penghujung tahun selepas menduduki SPM tetapi setelah pulang beberapa hari ana lupa akan tanggungjawab ana sebagai seorang muslim dan meninggalkan apa yang disuruhNya kerana alpa dan hasutan syaitan serta nafsu yang berkehendakkan dunia lagi. Ana berbolak balik kerungsingan memikirkan dosa itu kembali lagi menghantui diri ana lagi. Ana menangis lagi pada malam itu kesak-esakkan dengan penuh penyesalan lagi, ana tidak tahan lagi ana menelefon sahabat ana dan menceritakan dosa yang telah ana lakukan itu, sahabat ana itu tidak mengherdik mahupun memarahi ana bahkan dia telah menenangkan ana dengan meminta ana menyucikan diri ana dengan wudhuk dan bersolat dua rakaat dan bersolat taubat sebanyak dua rakaat juga dengan berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa yang ana telah ana lakukan itu. Ana redha dengan apa yang berlaku dan ana ....cuba.... lagi untuk berubah tetapi secara perlahan dengan menetapkan matlamat yang kedua tarbiah.
Ana dapat sempurnakan diri dengan amalan soleh secara perlahan. Apa yang mengejutkan ialah ketidakfahaman kelurga ana dengan perubahan ana ini membawa kepada kerenggangan perhubungan bertentangan apa yang mereka melakukan sekarang. Ana bukan ingin membuka aib sesiapa tetapi ana masih berdoa agar mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah ke jalan yang benar bukan ana fikir ana telah diberi hidayah oleh Allah kerana sesungguhnya hidayah itu akan diberikan kepada hambaNya yang dikehendaki sahaja olehNya. Jadi ana masih mencari hidayah yang hakiki itu lagi.
Ana dipertemukan lagi oleh Allah S.W.T dengan seorang sahabat yang banyak memberi petunjuk dan tunjuk ajar kepada ana agar menambahkan keimanan lagi kepada Allah dia telah banyak memberi nasihat dan motivasi kepada ana dengan mengajak ana mencegah kemungkaran dan meninggalkan kemungkaran secara berperingkat-peringkat bahkan dia sahaja dapat ana kongsikan cerita tiap-tiap hari ana yang duka ini. Ana juga banyak melakukan penyelidikan tentang agama yang suci ini dengan mencari keindahan agama dengan cara membuat research di internet. Banyak perkara yang ana pelajari dengan mendalami ilmu-ilmu Allah tanpa sempadan ini.
Alhamdulillah ana dapat melanjutkan lagi pelajaran di peringkat yang lebih tinggi lagi kini, pada mulanya ana amat berberat hati untuk tinggal di situ kerana tidak diterima di situ oleh keluarga institusi tersebut. Ana akui ana mempunyai nilai-nilai murni yang tidak sopan iaitu cepat melenting, panas baran, dan sikap marah pada sesuatu yang tidak disukai. Ana pernah memaki hamun beberapa kakitangan institusi berkenaan kerana tidak sabar kerana penerimaan mereka terhadap ana dan teman-teman seperjuangan ana di situ. Ana akui ana agak kecelaruan untuk menghadapi situasi itu kerana itulah juga salah satu ujian terhebat dalam hidup ana kerana terpaksa menghadapinya dengan penuh redha. Alhamdulillah ana dapat juga menyesuaikan diri ana di situ hingga kini ana masih redha bahawa ini ialah ujian daripada Allah supaya ana belajar menerima berdikari.
Peringkat ana ditarbiah kini lagi dipertingkatkan dengan ana menyertai kumpulan Usrah bagi Halaqah (perkumpulan bagi muslim membicarakan permasalahan umat dan masalah akhwat&ikhwat) ana seronok sekali apabila ana menyertai kumpulan ini kerana di sinilah kekuatan iman ana bertambah dan dekat kepada pencipta kita semua. Banyak lagi yang ana timba apabila bersama ahli usrah yang lain dengan membuat perjumpaan di surau setiap hari Khamis dan bergantung kepada Murabiah ana iaitu Kak Asiah iaitu seorang pelajar dari Universiti Teknologi Petronas(UTP) Beliau banyak memberi liqa’ dan pengisian yang berguna bagi kami akhwat-akhwat yang baru menyertai usrah ini. Ana akui usrah dapat mengeratkan hubungan antara Halaqian serta bertukar-tukar fikiran dan pandangan mengenai isu yang dibincangkan. Ana mengakui juga dengan menjaga Mutaba’ah ana dapat merasai lagi keindahan beramal dan berdakhwah bersama kaum muslimah yang lain.
Mutaba’ah mempunyai ....lima.... elemen yang telah dicadangkan oleh Murabiah kami iaitu Solat Tahajud, Solat Dhuha, At-Mathurat, Istighfar, dan Tilawah. Setiap akhwat mestilah bermatlamat untuk mencapai tiga target bagi menjaga iman jika Mutaba’ah turun maka akhwat dapat merasai penurunan imannya dan merasa jauh dari penciptanya. Maka Dapat berkongsi masalah dan permasalahan bersama dengan memberi cadangan kepada akhwat yang menghadapi masalah dan kesulitan dalam beragama.
Hingga hari ini lagi ana masih lagi mencari identiti dan masih lagi dalam proses tarbiah ini dengan berpandukan ilmu yang cetek ini ana kekal berdakhwah secara perlahan bermula dengan mencegah kemungkaran disekeliling ana. Ana mengharapkan teguran dari ramai sahabat yang dapat menjadikan ana sebagai sahabat yang menerima teguran itu untuk perbaiki diri kepada yang terbaik bagi bekalan di akhirat kelak. Ana berpegangkan prinsip “Seorang pembimbing umat jangan sekali-kali menyalah gunakan kemuliaannya, seorang Da’ei jangan sekali-kali melukai perasaan yang didakwahnya kerana dia adalah penyeru ke jalan menuju Syurga. Dia juga harus melakukannya secara bertahap sampai mereka menjalani tangga keberuntungan” petikan salah satu dari buku ana iaitu Indahnya Syurga tulisan Dr. A’idh bin Abdullah Al-Qarni. Buku tersebut telah banyak menyedarkan ana mengenai dakwah dan pengorbanan di jalan Allah akan membahagiakan kita di negeri Akhirat tersebut.
Semoga dengan apa yang ana bingkiskan ini dapat memberi sedikit ruang bagi ana berkongsi pengalaman ini kepada muslimin yang sedang berusaha berubah untuk memperbaiki diri dan mencari hidayah milik Allah itu..Doakanlah perubahan ini akan kekal hingga akhir hayat ana..InsyaAllah..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan