Khamis, 24 Mac 2011

implikasi kahwin muda?


Assalamualaikum w.t.b dan selamat petang kepada pembaca blog ana yang sudi-sudi usha walaupun usha je tapi ada gak kan baca-baca entri yang ana post.

Sejak kebelakangan ini memang ana dilanda pelbagai masalah jadi blog juga yang jadi tempat menulis benda-benda ni semua. ana tahu bukan elok jika nak tulis diari dekat sini sebab macam teruk sangat bunyinya tu kan U_u" tapi buat sahabiah ana yang faham dia memang sedia maklumla ana ni memang macam ni. yang tak tahu buat-buat je la tak tahu ye tak payah ambil tahu pun tak mengapa.

ana nak ajak sahabat/sahabiah kita baca artikel ni: (jom la, jangan tengok je)

----------------------------- ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥------------------------------

IMPLIKASI KAHWIN MUDA
Oleh Sophia Ahmad

PADA zaman pra merdeka, menamatkan zaman bujang seawal usia 14 tahun bagi wanita dan 18 tahun bagi lelaki bukan satu perkara yang asing, malah sesuatu yang lumrah di kalangan semua kaum.

Andai ada bunga di taman yang lewat disunting dan andai ada kumbang yang masih bersendirian, nescaya pelbagai tohmahan dan kata-kata sinis akan menjadi habuan.

Trend itu bagaimanapun berubah selepas negara merdeka. Anak muda mula berlumba-lumba memantapkan diri masing-masing, khususnya daripada aspek ekonomi dan pendidikan. Berkahwin lewat bukan lagi satu perkara memalukan sebaliknya lumrah dan semakin diterima masyarakat.

Namun, di zaman globalisasi ini, kahwin muda kembali sebagai satu gaya hidup.

Kajian Hubungan Etnik oleh sekumpulan pelajar tahun dua Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati perkahwinan membabitkan pasangan berusia bawah 20 tahun semakin meningkat khususnya di kalangan orang Melayu.

Berpandukan kepada kajian itu, pergaulan bebas yang semakin berleluasa dikenal pasti sebagai faktor pemangkin kepada trend kahwin muda itu.

Bagaimanapun, sering kali perkahwinan seperti itu dianggap satu jalan penyelesaian oleh pasangan yang terlanjur demi menyelamatkan maruah keluarga daripada tercemar.

Budaya dan adat resam Melayu yang agak konservatif turut mempengaruhi penularan semula kahwin muda apabila masyarakat sering memandang serong terhadap anak gadis yang lambat bertemu jodoh.

Sering kali mereka dilabel dengan pelbagai gelaran seperti andartu (anak dara tua), tak laku atau lebih sinis lagi, kena mandi bunga

Dalam konteks itu, desakan keluarga turut dianggap faktor peningkatan perkahwinan dalam usia muda. Ini berkait rapat dengan latar belakang segelintir keluarga yang terlalu mementingkan darjat, susur galur dan agama.

Terdapat dua faktor yang mendesak keluarga menamatkan zaman bujang anak. Pertama, kerana khuatir mereka tidak akan mendapat jodoh jika perkahwinan ditangguhkan dan kedua, bagi keluarga miskin di kawasan pedalaman, anak perempuan mahu dikahwinkan untuk mengurangkan beban.

Kepercayaan anak perempuan tidak perlu bekerja dan hanya perlu menyerahkan untung nasib mereka kepada suami masih berlaku walaupun pada zaman yang kian global.

Tidak kurang juga keluarga yang berpegang kepada pendapat perkahwinan akan menyelamatkan struktur ekonomi keluarga, justeru anak perempuan wajar dikahwinkan pada usia muda.

Aspek perlindungan juga dikatakan memainkan peranan penting kerana ramai ibu bapa percaya anak gadis mereka akan dilindungi suami sebaik sahaja berumah tangga.

Aspek itu lahir daripada kegusaran ibu bapa terhadap kemungkinan anak masing-masing diperkosa atau melakukan hubungan kelamin di luar ikatan perkahwinan.

Kajian itu yang diselenggarakan Pakar Pediatrik Komuniti Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr Amaluddin Ahmad juga mendapati agama bukan faktor penyumbang kepada trend terbabit.

Pendapat yang mengaitkan agama sebagai faktor tunjang trend berkenaan sebenarnya hanya omongan kosong masyarakat zaman dahulu yang berlatarbelakangkan kepada fahaman konservatif serta kepercayaan kolot.

Jika dihalusi, semua agama menggalakkan penganutnya melayari alam perkahwinan apabila bersedia secara mental dan fizikal selain yakin mereka mampu menzahirkan keluarga bahagia dan sempurna.

Adalah amat ketara perkahwinan pada usia muda banyak berlaku di kalangan orang Melayu berbanding dua etnik utama yang lain di negara ini.

Agak menyedihkan apabila kajian yang sama mendapati keadaan itu wujud kerana pasangan dibelenggu nafsu semata-mata.

Kurangnya ilmu pengurusan rumah tangga juga menjadikan perceraian di kalangan kaum itu pada usia muda lebih tinggi berbanding kaum lain di negara ini.

Lain halnya dengan kaum Cina yang ternyata lebih cenderung untuk menamatkan zaman bujang pada usia melebihi 25 tahun. Kaum itu yang begitu taksub dengan kedudukan ekonomi menyebabkan mereka memberi keutamaan kepada usaha mengukuhkan aspek kewangan terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tangga. Ada antara mereka yang lebih mementingkan kerjaya dan pelajaran daripada perkahwinan.

Tidak terkecuali dengan kaum India yang lebih gemar menamatkan zaman bujang ketika usia matang dan amat mementingkan kedudukan ekonomi masing-masing sebelum memilih mendirikan rumah tangga.

Tidak dapat dinafikan sama sekali perkahwinan di usia muda mendatangkan pelbagai implikasi sama ada ke atas diri pasangan terbabit, keluarga terdekat mahupun keluarga yang bakal didirikan.

Kajian Kesihatan Keluarga Kebangsaan 1998-99 mendapati 39 peratus daripada remaja yang berkahwin dalam lingkungan umur 15-19 tahun mengalami kekurangan tenaga yang kronik, manakala 56 peratus lagi mengalami anemia.

Bayi yang dilahirkan oleh golongan itu juga berisiko tinggi dengan kadar kematian bayi 60 peratus lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan oleh wanita berusia 20-29 tahun.

Lazimnya pasangan muda itu tidak dapat menerima tekanan dan tidak pula tahu mengurus rumah tangga. Keadaan lebih sukar apabila pasangan itu tidak matang.

Apabila terjebak dengan konflik yang tidak pernah diduga, ramai yang memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian mudah, sekali gus mengundang kepada peningkatan kadar perceraian di negara ini.

Ini secara tidak langsung juga memberi kesan kepada perkembangan masyarakat dan negara selain membawa kepada pelbagai gejala sosial, khususnya di kalangan remaja.

Jadi sebenarnya, apakah kahwin muda itu baik atau jelik? — Bernama



p/s: tapi jika jodoh dah sampai bagi pasangan yang muda, teruskan je niat tapi fikir dahulu ye. (ingatan kepada diri ini juga)

"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)